Tindak balas pemerintah Johor Perang_Saudara_Jementah

Kemenangan dalam pertempuran di Jementah itu telah mendorong Tengku Nong mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Muda sementara Wan Daud diisytiharkan sebagai Temenggong Paduka Tuan. Kesannya, pemerintah Johor lantas mengirimkan sebuah angkatan perang diketuai oleh Ungku Ahmad iaitu saudara sepupu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Maharaja Johor ke Jementah.

Kepintaran Ungku Ahmad dalam tipu muslihat perang telah menyebabkan beberapa buah kubu musuh dalam kawasan Lubuk Bandan ditawan. Tengku Nong dan Panglima Sancu beserta pengikut-pengikut mereka berundur ke hulu sungai Jementah berhampiran dengan kaki Gunung Ledang. Di satu tempat bernama Kampung Lela mereka telah mendirikan sebuah kubu berbentengkan tanah.

Pada 2 Disember 1879 Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah dihantar oleh kerajaan Johor untuk membantu Ungku Ahmad dan Encik Esa yang sedang bertahan di sebuah kubu dalam jajahan Jementah.

Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah membawa bersama sebanyak 400 laras senapang jenis Snider-Enfield dan meriam. Memandangkan pertahanan musuh masih kukuh, Tengku Ahmad dan Dato' Bentara Luar telah membuat satu strategi untuk menyerang kubu-kubu musuh. Empat buah pasukan telah dibentuk dan setiap pasukan mengandungi 100 orang.

  • Panglima Besar Esa memimpin pasukan pertama.
  • Panglima Kiri Awang memimpin pasukan kedua.
  • Panglima Besar Yusuf memimpin pasukan ketiga.
  • Panglima Dalam Lamit memimpin pasukan keempat.